Into The Heart of Life
Assalamualaikum WBT.
Alhamdulillah, jari ini kembali berinteraksi merungkai rasa dalam hati, mentafsir fikiran di minda.
Maha Suci Allah yang telah menggerakkan hati, memujuk diri untuk kembali teguh pada jalannya. Bulan ini, genaplah sudah setahun memasuki alam pekerjaan. Alhamdulillah, pelbagai rasa hadir dalam mengemudi kehidupan baru ini.
Kini diri cuba masuk kembali ke masa itu, melihat dengan kaca mata berbeza, semoga berhasil mengutip hikmah tersirat yang tidak terfahami tika itu.
Dalam kehidupan ini, seperti pesan bonda Prof Muhaya, respon kita pada sesuatu yang hadir menentukan apakah hasil kehidupan kita, keadaan kita jalani kehidupan. Jika positif respon, maka InsyaAllah positif juga kehidupan kita, walau apapun peristiwa yang hadir. Hadam sifir kehidupan ini:
Peristiwa + Respon = Hasil Kehidupan
(Peristiwa +1) + (Respon +1) = Hidup Positif +2
(Peristiwa +1) + (Respon -1/-2) = 0/-1 Steady / Hidup Negatif
(Peristiwa -1) + (Respon +2) = Hidup Positif +1 (Sambut negativity dengan double positivity)
(Peristiwa -1) + (Respon -1) = Hidup Negatif -2
Dalam menghadapi perubahan fasa dalam kehidupan, memerlukan kita menghadapi pelbagai situasi, ada yang pernah di lalui, ada yang dalam jangkaan, dan ada yang diluar kotak fikiran, "oh, keadaan macam ni wujud di dunia nyata ye, bagaimana manusia boleh jalani cara hidup begini?".
Dalam berhadapan pelbagai situasi dan kepelbagaian cara hidup manusia;
Tahap 1: adakalanya hati terasa sakit dalam menerima dan memahami,
Tahap 2: adakalanya diri reaktif dalam tindakan,
Tahap 3: adakalanya diri sekali hilang terbawa arus, ini fasa kritikal, kita harus berupaya detach kan diri semoga tidak hanyut bersama.
Namun ku fahami, setiap insan ingin menjadi baik, ingin beri yang terbaik, yang bezanya cara dan tahap kita dalam mengendalikan sesuatu. Barangkali itulah yang terbaik pada hematnya, tapi berbeza pula pada hemat kita. Memahami itu lebih mendamaikan. Teruskan ingatkan diri, pesan Ustaz Pahrol; "Tujuan hidup manusia cuma dua, jadi baik (hamba Allah) dan beri kebaikan (khalifah di bumi)". Teruskan misi menjadi baik dan memberi kebaikan dalam cara sendiri, tidak goyah dengan hidup hidupan di muka bumi. Susun atur langkah biar kemas dan bermatlamat, InsyaAllah akan terus terarah ke jalanNya.
Ok, berbalik pada fasa perubahan tadi, sering aku tertanya, bagaimana untuk aku tetap pada pendirian ku? Ku fahami cara insan berbeza, ada sistem yang tersedia, orang kata "masuk kadang kambing mengembek...". Namun ada nilai diri yang perlu dilindungi, ada misi yang ingin dilaksanakan. Baru ni dengar pengisian Ustaz Pahrol; "3A; Accept, Adapt, Adjust". Masuk ke alam baru, terima dengan lapang dada semua yang ada di depan mata, kemudian sesuaikan diri, setelah lebih memahami, mulakan langkah ubah yang bersesuaian. Dan paling penting, "Sabarrrr". Dan mintalah pertolongan dengan jalan Solat dan Sabar, rehatkan diri dengan Solat, pujuk diri dengan Sabar.
Cumanya, nak melaksanakan 3A ni satu kegigihan juga. Accept satu hal, Adapt satu hal, Adjust pun satu hal, setiapnya ada cabaran berbeza, perlu pada ilmu dan skill yang berbeza untuk melalui dengan jayanya.
Accept = Interaksi dengan diri dan Tuhan. Fahami konsep redha, qada' & qadar, takdir.
Adakalanya kita mempersoalkan tanpa cuba memahami makna disebalik hadir dan terjadinya sesuatu. Perlu pada kekuatan hati untuk berlapang dada menerima dan memahami takdir, seterusnya mentadbir takdir. Syukur dengan takdir itu.
Adapt = Interaksi dengan diri dan manusia & sistem kehidupan.
Konsep silaturrahim. Faham yang manusia ini diciptakan punya keunikan tersendiri. Raikan kepelbagaian, jika belum sampai kepada memahami tindakan setiap insan, mulakan dengan berlapang dada dengan tindakan setiap insan, jauhi 'judgemental mind'. Kadang kita sukar adapt dengan manusia sebab kita terlebih dahulu meletakkan had dan kerangka tanggapan yang 90% tidak tepat; "dia ini macam ni, macam tu, aku tak masuk dengan cara tu, dll..". Kadang terlalu cepat membuat kesimpulan sebelum betul-betul menyelami. Ingat, setiap orang nak jadi baik dan beri kebaikan. Berdamailah dengan semua insan, sambungkan tali persaudaraan. Selami sistem kehidupan di sekitarmu, guna mata lebah; cari kebaikan dan fahami kelemahan.
Adjust = Interaksi dengan diri dan sistem kehidupan & manusia.
Setelah lebih memahami, Insyaallah akan terlihat strategi terbaik untuk adjust. Kadangkala, cabaran hadir sebab kita terlebih dahulu meletakkan kerangka yang kita fikir 'betul' sebelum lebih memahami keadaan sistem semasa. Maka akan wujud mismatch keperluan dan kehendak dalam mengatur strategi perubahan. Dalam proses ini, perlu emphaty pada diri dan manusia di dalamnya. Adjust tidak semudah ABC bagi kita dan bagi dia. Saat berdepan cabaran, selidiki dulu strategi diri, bukan sibuk mentafsir dengan mata lalat.
..........
Ku rasai, paling sukar dalam perjuangan di fasa peralihan ini, untuk tetap teguh pada pendirian, dan ku perhati, banyaknya langkah ini tersasar dalam menjalankan urusan di fasa ini. Semalam belajar satu doa yang sangat terkesan pada hati, sesuai di lazimi di fasa ini:
"Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir." [Surah Ali-'Imraan; 147]
Perubahan fasa akan terus berlaku, mungkin bukan secara nyata seperti perbuhan dari alam belajar ke alam kerja, dari satu kerja ke tempat kerja yang baru, dari single ke married, dll. Tapi dalam hati perbahan fasa terus berlaku, itu bukti hati kita inginkan perubahan, dan hati kita berubah menjadi lebih matang dan InsyaAllah ke arah menjadi hambaNya yang lebih baik setiap hari, semoga dengannya dapat lebih banyak memberi kebaikan pada seluruh alam. Di dalamnya tersimpan makna kehidupan sebenar, itulah hati pada sebuah kehidupan di dunia, dalam usaha meraih kehidupan abadi yang tenang dan damai.
Dalam proses ini, tentunya ada turun dan naik semangat, ada turun dan naik iman, santuni kelemahan, raikan kelebihan. Gunakan kelebihan diri untuk menampung kelemahan diri. Kita hidup di dunia bersama-sama saudara lain dalam misi yang sama, untuk menjadi baik dan memberi kebaikan. Hulurkan tangan, rajin membantu "ada - beri - dapat". Hadirkan empathy dalam diri dalam menyantuni sesama saudara. Mungkin itulah tanda diri syukur dan memelihara hidayah kurniaNya. Setiap yang datang berhikmah, setiap takdir datang tersusun dan terbaik, tinggal kita mentadbir takdir dengan baik. Izinkan diri di bantu saat lelah, dan izinkan diri memaafkan diri andai tersilap langkah, segerakan taubat, itu lebih baik dari terus menghukum diri.
Bak kata Ustaz Amin; "Tenang-tenang sajalah.." :)
Kadang emosi kita je yang drama lebih, sebenarnya apa yang dilalui tidaklah terlalu berat, kita sentiasa mampu lalui.
Semoga hati kita tetap teguh terus berjalan. Tetapkan niat, perbaharui niat selalu, tentukan hala tuju, kemaskan strategi, terus maju kehadapan dengan tenang dan sabar. Dengan izin Allah, dengan bantuan dari Allah, pasti akan sampai ke hujungnya dengan selamat sejahtera, dengan jiwa yang tenang, moga tergolong dalam kelompak yang Allah seru, "Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang rida dan diridai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam surga-Ku." (Surah Al-Fajr [89]: 27-30).
Amiiin.
الحمد لله على كل حال
Nur
16:35
Mimpi Cafe, UniSZA

Comments
Post a Comment