Anugerah Pelajaran DiRaja UiTM 2013


Dalam kenangan, 23 year old me, semoga sentiasa menjadi inspirasi buatku.. 

Teks biaodata dalam buku Majlis Konvokesyen UiTM
~Penerima Anugerah Pelajaran Di Raja (Pingat Jaya Cemerlang)~
Royal Education Award (Medal of Excellence)
Majlis santapan bersama YDPA selepas Majlis KOnvokesyen



Nur Hayati Binti Jasmin merupakan anak kelahiran Sabah yang dilahirkan pada 26 April 1990 di Lahad Datu. Beliau di besarkan di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah. Sejak kecil lagi beliau bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah dan penyelidik dalam bidang yang beliau ceburi kelak. Kini, anak keempat daripada lima beradik kepada pasangan peneroka Felda, Haji Jasmin Bin Haji Jasman dan Hajah Aminah Bt Haji Sinring itu merupakan seorang pensyarah di Kolej MAHSA, Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Sahabat 16, Lahad Datu yang kemudian menyambung pelajaran ke peringkat sekolah menengah di Sekolah Menengah Sains Lahad Datu, Sabah. Beliau mendapat keputusan yang cemerlang dengan mendapat 4A dalam UPSR dan 8A dalam PMR. Beliau terus cemerlang apabila berjaya mendapat 8A dalam SPM dan dianugerahkan sebagai pelajar terbaik untuk mata pelajaran Matematik. Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat diploma pada tahun 2008 di UiTM dalam bidang pengimejan perubatan.

Pada tahun 2010, beliau memulakan pengajian dalam bidang Ijazah Pengimejan Perubatan (Kepujian) di UiTM Kampus Puncak Alam. Beliau telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila berjaya mendapat Anugerah Dekan untuk setiap semester. Beliau telah menamatkan pengajian pada Julai 2013 dengan keputusan yang  cemerlang. Beliau telah berjaya menyiapkan projek akhir tahun beliau yang bertajuk ‘Systematic Review on the Diagnostic Accuracy of Computed Tomography in Patients’ with suspected Abdominal Aortic Aneurysm Rupture (RAAA)’. Sepanjang tempoh pengajian tersebut, beliau telah menerima beberapa anugerah. Beliau merupakan penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Sabah di IPT pada ‘SABAH NITE 2012’ yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan, Shah Alam. Selain itu, beliau juga turut dianugerahkan sebagai Pelajar Terbaik Akademik pada ‘Malam Pra-graduan’ Fakulti Sains Kesihatan 2013.

Kesian family semua dah kepenatan menunggu aku keluar dewan ;)


Beliau bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah juga bergiat aktif dalam aktiviti ko-kurikulum sejak di bangku sekolah lagi. Beliau merupakan seorang pengawas sekolah dan telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan pengerusi Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) semasa di sekolah rendah. Di peringkat sekolah menengah beliau telah dilantik sebagai pengawas perpustakaan dan editor dalam penulisan buletin sekolah. Di samping itu, beliau juga aktif dalam bidang sukan yang juga merupakan salah seorang ahli pasukan hoki sekolah dan telah mengikuti bebarapa kejohanan hoki peringkat sekolah dan daerah di Sabah. Beliau juga telah mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun 2008 di kem San Shui, Tawau.

Pertama kali bergelar sebagai mahasisiwi UiTM, Kampus Jalan Othman bukan sesuatu yang mudah bagi beliau apabila terpaksa terpisah jauh daripada keluarga tercinta. Sebagai pelajar yang berasal dari Sabah, golongan minoriti dalam bidang yang diceburi, beliau dapat menyesuaikan diri dengan cepat. Buktinya, nama beliau tidak asing lagi dalam kalangan ahli Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA). Beliau banyak terlibat dalam program-program kemasyarakatan, kem jati diri, dan seminar akademik. Pada tahun 2011, beliau telah diberi kepercayaan untuk menjadi timbalan pengarah bagi program ‘World Radiography Day and Medical Imaging Students Symposium’ yang melibatkan seluruh pelajar pengimejan perubatan di Malaysia. Program tersebut telah mendapat Anugerah Program Terbaik pada Malam Anugerah Kecemerlang Persatuan dan Kelab Pelajar UiTM 2011. Terdahulu, beliau juga pernah menjadi Bendahari Kehormat Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA) bagi sesi 2011/2012.



Di samping itu, beliau juga tidak ketinggalan melibatkan diri dalam aktiviti di luar kampus. Beliau pernah mengikuti beberapa siri ekspedisi pendakian, antaranya termasuklah mendaki Gunung Ledang, Gunung Rajah, Gunung Kinabalu dan banyak lagi. Mendaki merupakan salah satu hobi beliau pada masa lapang. Selain itu, beliau juga pernah menjadi fasilitator untuk kem motivasi dan kepimpinan yang dianjurkan oleh badan-badan swasta. Dalam sibuk belajar, beliau tetap melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum, hal ini kerana baginya, itu adalah peluang untuk membentuk nilai-nilai kepimpinan, kemasyarakatan, serta kebolehan berkomunikasi dalam diri beliau. Beliau sedar, ‘soft skill’ merupakan salah satu aspek penting dalam membentuk kejayaan seseorang. Oleh yang demikian, beliau sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan ‘soft skill’ beliau dengan bergiat aktif dalam aktiviti persatuan mahupun aktiviti luar kampus.        

Inspirasi kepada kejayaan beliau adalah kedua ibu bapanya. Matlamat yang juga pendorong beliau adalah untuk melihat senyuman terukir di bibir ibu dan bapanya dengan setiap kejayaan yang dikecapinya. Pada awalnya, beliau adakalanya merasa rendah diri apabila melihat rakan-rakan lain menyambung pengajian di luar negara. Namun, ia sama sekali tidak melemahkan semangat beliau, malah menjadi penyuntik semangat untuk lebih gigih menuntut di UiTM. Beliau ingin membuktikan pada semua bahawa beliau juga boleh berjaya di UiTM. Beliau percaya bahawa di mana kita belajar bukanlah kayu ukur kepada kejayaan seseorang. Sebaliknya, kejayaan itu lahir dari dalam diri setiap individu. Selagi mana seseorang itu berusaha dan mempunyai matlamat yang jelas, dia pasti akan berjaya. Beliau berpegang pada pepatah It is the hardest time that you should not give up. Beliau sentiasa yakin pada jalan yang Allah S.W.T telah tentukan. Di samping itu, rakan-rakan seperjuangan beliau juga merupakan sumber inspirasi kepada setiap kejayaan beliau. Segala keperitan dan kepayahan sepanjang tempoh pengajian berjaya di tempuh bersama.

Sahabat seperjuangan Medical Imaging
            
Bagi Nur Hayati Binti Jasmin, 23, matlamat jangka pendek beliau adalah tidak lain hanya ingin menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin sebagai seorang pensyarah. Beliau ingin melaksankan tanggungjawab mendidik dengan sempurna. Hampir sebulan bergelar pensyarah, beliau dapat merasakan sendiri tanggungjawab yang dipikul oleh seorang yang bergelar pendidik. Pensyarah bukanlah suatu kerjaya yang mudah. Ia menuntut keihklasan yang tinggi diiringi dengan persediaan dan pendekatan yang mantap dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar. Ilmu merupakan sesuatu yang unik oleh itu, penyampaiannya juga perlulah unik serta lahir dari hati. 

Bercakap tentang matlamat jangka panjang, beliau menyimpan hasrat yang besar iaitu ingin menyambung pelajaran ke peringkat PhD di luar negara. Beliau sedang berhubung dengan beberapa universiti dan pensyarah di luar negara berkenaan perancangannya untuk meneruskan pengajian ke peringkat PhD. Ini juga merupakan harapan kedua ibu bapanya. Akhir kata, beliau percaya, sebenarnya hidup kita bukan sekadar bergantung pada apa yang berlaku pada kita dan di sekeliling kita, tetapi ia lebih kepada bagaimana kita memberi tindak balas terhadap apa yang berlaku. Setiap kekurangan dan kesusahan yang kita hadapi, yakinlah Allah SWT telah menyediakan jalan nya. Oleh itu, jangan pernah putus asa pada rahmat Allah SWT.

#UiTMDiHatiku
#Teks biodata ditulis pada November 2013

http://www.majlisraja-raja.gov.my/index.php/bm/biasiswa-majlis-raja-raja/senarai-penerima-anugerah-pelajaran-diraja#section=p13





Alhamdulillah...Terima kasih Ya Allah..


Comments

Popular posts from this blog

Proses permohonan dan temu duga Program Pelajar Cemerlang (PPC) Luar Negara 2014, JPA

Biasiswa Yang Di-Pertuan Agong (BYDPA) 2016/2017